SELIMUT... pondan berbogel terpaksa diselimutkan selepas ditahan pihak berkuasa.
KUALA LUMPUR: Saya terkejut melihat rakaman dalam kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang wanita berambut panjang tanpa seurat benang di laluan itu sebelum keluar dari bilik kawalan untuk menyelamatkannya tetapi bila didekati, dia sebenarnya lelaki, kata Anuar Borohan, 40, menceritakan kejadian seorang pondan bogel merayau berhampiran Plaza Tol Batu Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke), di sini, semalam.
Anuar yang juga petugas bilik kawalan trafik Duke berkata, dia menerima panggilan daripada pengguna lebuh raya berkenaan yang mengadu ternampak kelibat pondan terbabit yang berbogel di Kilometer 3 arah timur, jam 1.45 tengah hari.
Pengguna memaklumkan, ada orang jalan kaki memasuki lebuh raya dari Jalan Duta arah ke Sentul tanpa memakai baju sebelum saya memeriksa rakaman CCTV di laluan itu.
Saya segera keluar dari bilik kawalan yang terletak tidak jauh dari tempat pondan terbabit merayau untuk menyelamatkannya kerana bimbang dia dilanggar kereta, katanya.
Menurutnya, sebaik keluar, dia segera memujuk pondan terbabit supaya keluar dari lebuh raya.
Bagaimanapun, dia bukan saja enggan, malah menumbuk saya tiga kali menyebabkan bibir saya berdarah.
Walaupun kesakitan, saya meneruskan usaha memujuknya sebelum dia melibas kaki saya dengan besi penghadang jalan, katanya.
Katanya, dia terpaksa bergelut dengan lelaki itu sehingga pakaiannya koyak direntap dan terpaksa meminta bantuan pengguna lebuh raya untuk menangkapnya.
Mujur seorang pemandu memberhentikan keretanya dan membantu saya menangkap pondan terbabit. Dia juga menawarkan kenderaannya untuk menghantar pondan itu ke Plaza Tol Air Panas.
Di plaza tol itu, pondan itu dipakaikan selimut untuk menutup tubuhnya sebelum diserahkan kepada polis peronda, katanya.
Anuar berkata, kejadian itu kali pertama berlaku sejak tiga tahun bekerja dengan Duke dan akan dikenang sebagai pengalaman berharga.