PASUKAN serta para pelumba tidak sabar menghadapi PUSINGAN 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan menggegar Putrajaya penghujung bulan ini.
Ia akan menjadi sebahagian daripada agenda sambutan Hari Belia Negara 2011 pada 27 hingga 29 Mei ini.
Presint 3, Putrajaya akan menjadi lokasi kejuaraan tersebut yang akan berlangsung pada 28 dan 29 Mei ini.
Saingan di Putrajaya ini dijangka akan menghadirkan lebih banyak cabaran kepada para pelumba apabila ia akan berlangsung di litar asing sepanjang 1,146.4 meter bagi semua pelumba.
Ia mempunyai tiga selekoh kiri, empat selekoh kanan, satu pusingan-U dan lapan laluan lurus dengan laluan terpanjang sejauh 347 meter.
Pengarah Promosi Safe Aim Mutual (SAM), Ron Hogg (gambar) ketika menjelaskan tentang pusingan yang akan datang berkata: "Ini merupakan kali pertama perlumbaan Cub Prix dilangsungkan di Putrajaya dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku nanti, terutama buat pasukan-pasukan dan pelumba-pelumba yang berpusat di Kuala Lumpur atau pun Selangor.
"Tiga pusingan telah berlalu setakat ini, dan kita telah melihat tiga pemenang yang berbeza dalam kategori CP130. Mohd. Ramdan Mohd. Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) menguasai pusingan pembukaan di Kangar, diikuti Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) di Batu Kawanmanakala Azlan Shah Kamaruzaman (TEQ SCK Honda Racing) muncul juara pada Pusingan 3 di Kuala Terengganu minggu lalu. Dengan keputusan tersebut, saya pasti Pusingan 4 pasti lebih menarik bukan hanya kepada peminat setia Cub Prix tetapi juga buat pasukan-pasukan bertanding."