RETRO MALAYSIAN RIDERS

Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Surat Seorang Remaja Kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib


Guru

Status: Offline
Posts: 953
Date:
Surat Seorang Remaja Kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib


 Assalamualaikum Dato Seri.
 
Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH Julai nanti genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun sebelum saya layak mengundi. Tetapi saya yakin dalam ruang demokrasi tidak pula mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat saya ini dibaca Dato Seri.
 
Dato Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan saya ini menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata).
 
Saya juga mampu membaca suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. Saya sering singgah di laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di media arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang tidak menjadi kegilaan kebanyakan remaja seusia saya.
 
Tidaklah pula saya katakan yang saya lebih tahu daripada Dato Seri, tidak. Saya cuma mahu tegaskan saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah remaja yang bukan kerjanya sehari-hari hanyalah makan, tidur, menelan buku teks semata. Saya adalah remaja yang mengikuti rapat perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta ini.
 
Izinkan saya Dato Seri untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak, seorang remaja. Mungkin Dato Seri fikir, apalah ada pada seorang remaja seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato Seri yang InsyaALLAH kelak, kamilah yang akan membuang undi!
 
Dato Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah. Ia adalah persoalan besar dan penting. Persoalan yang diletakkan tinggi di dalam Islam. Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat, begitu sabda Nabi SAW.
 
DASAR
 
Saya, yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini percaya bahawa setiap tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim, neraca asas yang menjadi dasar pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya, apakah Asas Utama kepada setiap tindakan Dato Seri?
 
Apakah Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?
 
Maaf Dato Seri, kiranya jawapan Dato Seri bahawa asas bagi setiap tindakan Dato Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato Seri akan memilih jawapan selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato Seri.
 
Saya amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya. Justeru, saya mohon penjelasan Dato Seri.
 
Saban hari saya dan rakan-rakan menerima berita dari segenap pelusuk negara, sama ada dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya, hilang nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan haram. Hilang maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat pergaulan bebas. Hilang akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan arak. Hilang kewarasan hingga tergamak membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan anjing dan hurungan semut. Hilang kemampuan untuk menjadi barisan pelapis kepimpinan negara. Hilang arah hinggakan nafsu disembah sebagai Tuhan! HILANG Dato Seri, HILANG!
 
Saya begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali KWJ, Lihatlah pada generasi muda, untuk menilai masa depan ummatnya. Saya tergamam dan jadi takut Dato Seri, melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini hancur dan punahnya masa depan negara tercinta ini!?
 
PELAN TRANSFORMASI EKONOMI
 
Program Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato Seri turut menggariskan perancangan untuk MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN. Di atas alasan untuk memperkasa industri pelancongan dan menarik pelancong juga kerajaan pimpinan Dato Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.
 
Kerajaan Dato Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.
 
Maka menjelang 2014 negara kita akan memiliki sekurang-kurangnya 10 kelab malam di zon hiburan. Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Dato Seri akan merubah beberapa peraturan hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan malam.
 
Dato Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana seorang penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda dengan kebenaran daripada kerajaan Dato Seri.
 
Izinkan saya ulangi soalan saya Dato Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca timbangan ketika Dato Seri merangka, membentang dan membahas idea ini? Ataupun Dato Seri punya pilihan lain yang Dato Seri lebih suka untuk diletakkan sebagai neraca timbangan?
 
Yang Amat Berhormat Dato Seri, apakah Dato Seri penuh sedar bahawa perancangan Dato Seri ini adalah perancangan PEMUSNAHAN besar-besaran? Ini bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan PEMUSNAHAN berskala besar yang akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau lebih muda hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.
 
Iya, Dato Seri akan menghancur dan membunuh pemimpin masa depan, para cerdik pandai generasi akan datang dengan lambakan hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan bakal dihidang dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan menatijahkan hanya satu Dato Seri, iaitu hilang upayanya kami untuk menduduki barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau apakah pada pandangan Dato Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai kiranya menelan hiburan-hiburan ini?
 
IFF dan AURAT
 
Dato Seri, seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab menegaskan, Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan dihina Allah. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar bertitah demikian kerana ia begitu meresap masuk di hati ini.
 
Dato Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya waktu melihat Dato Seri dan isteri melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh hari. Saya tak dapat mengawal hati untuk berteriak-teriak marah tatkala melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama Kelembutan Islam (Modesty of Islam) yang dinaungi oleh isteri Dato Seri dan pastinya dengan izin Dato Seri. Saya dan sahabat-sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah ini pemahaman Dato Seri dan isteri mengenai pemakaian di dalam Islam?
 
Saya dan rakan-rakan jadi jelak dan muak Dato Seri, maaflah. Waktu Dato Seri bertempik berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato Seri tidak pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato Seri tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato Seri berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya, apakah Dato Seri meredhai perbuatan isteri Dato Seri ini?
 
JUDI
 
Bukan sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato Seri mengumumkan pemberian lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus perjudian sukan di Malaysia pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak apakah harapan Dato Seri dengan pemberian lesen-lesen judi ini?
 
Apakah ini juga satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato Seri gembira dengan duit yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita melihat betapa hebatnya gejala buruk yang bakal timbul lewat perjudian?
 
Apakah Dato Seri meletakkan neraca BERKAT dan LANAT waktu mengemukakan cadangan ini? Apakah Dato Seri akan meredhai kiranya rakyat Malaysia memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka dengan wang hasil judi yang mereka perolehi? Apakah budaya yang cuba dibentuk Dato Seri sebenarnya?
 
Apakah keputusan-keputusan ini ditimbang dengan neraca agama? Atau Dato Seri menggunakan neraca lain sebagai ganti?
 
KEMISKINAN dan HARGA NAIK
 
Dato Seri orang bangsawan. Keturunan bangsawan. Barangkali jika tidak jadi Perdana Menteri Malaysia pun Dato Seri tetap akan hidup senang-lenang mewarisi kekayaan. Menteri-menteri Dato Seri juga kaya raya.
 
Maka tidak kiralah jika hari ini minyak naik 10 sen, 20 sen, 50 sen atau RM 10 sekalipun, Dato Seri dan sekalian menteri tidak akan bersusah. Tidak perlu berjerih payah.
 
Tahukah Dato Seri, di celah-celah, ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang menderita lewat kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan kelemahan pengurusan. Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai neraca dan Allah sebagai penilainya adalah pengurusan yang menghancur!
 
Dato Seri, saban hari saya melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah Dato Seri, untuk menyekolahkan anak pun sudah membuatkan mereka terpaksa membanting tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar mereka ke menara gading (yang PTPTN lebih menghimpit daripada membantu).
 
Kadang-kadang, apabila anak-anak yang bersekolah meminta wang lebih untuk buku rujukan tambahan, si ibu atau bapa terpaksa menghulur dalam titis air mata. Sudahlah hutang yuran persekolahan pun masih belum dilunas. Bukan sedikit keringat yang dicurah demi sesuap rezeki halal untuk anak-anak dan keluarga.
 
Kerajaan Dato Seri jangan terlalu bergantung kepada statistik dan kajian untuk menilai kemampuan rakyat. Selamilah sendiri penderitaan rakyat yang terseksa dan merana kerana sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap kali harga minyak atau keperluan utama naik, meski sekadar 10 sen atau 20 sen, mengalirlah air mata rakyat yang menanggungnya.
 
Rakyat benar-benar tersiksa sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah dipenuhi. Janji itu dan ini sekadar untuk meraih undi. Waktu menang nanti kami rakyat sudah dilupai. Tinggal kami bermatian berusaha keras sendiri.
 
SUARA RAKYAT
 
Waktu rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi untuk meluahkan rasa yang terbuku di hati dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri yang berkuasa, Dato Seri menghantar pada kami perusuh-perusuh yang membantai tulang lemah dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan diinjak-injak umpama binatang korban, umpama tak punya maruah. Kami diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air kimia yang saya yakin, Dato Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan peritnya.
 
Dan menteri-menteri Dato Seri tanpa rasa bersalah menggelarkan kami sebagai perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara, beruk-beruk di jalanan yang cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang menuduh melulu itu bisa memahami pedihnya hati ini.
 
Semuanya adalah kerana kami rakyat yang mahu berkongsi rasa dengan pimpinan negara. Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan ketidakadilan, ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat diikat, maka ruang kecil untuk bersuara di jalanan inilah, ruang untuk kami menyampaikan rasa pada pemerintah dan pemimpin kami. Sekadar ruang kecil untuk kami bercerita dan berkongsi betapa peritnya kehidupan yang kami rakyat lalui.
 
Pernahkah Dato Seri pedulikan suara kami? Pernahkan selain daripada tarikh pilihanraya Dato Seri menjadi begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu pandangan rakyat yang tidak menguntungkan Dato Seri diambil peduli? Pernahkah Dato Seri?
 
Dato Seri bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan rakyat. Melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato Seri memastikan kami rakyat yang berhimpun tidak akan berjaya berhimpun dengan aman dan baik. Media di bawah kawalan Dato Seri juga menggunakan segala maklumat yang ada untuk memburuk-burukkan kami. Ulama-ulama yang bernaung di bawah Dato Seri juga menggali hujah-hujah agama demi membuktikan tindakan kami bersuara adalah bercanggah pada sisi agama.
 
Dato Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap tindakan ini. Bukankah perhimpunan anjuran Dato Seri pada setiap malam menunggu detik Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu rakyat termasuk golongan muda-mudi datang menyertai. Akhbar arus perdana jugalah yang melaporkan tangkapan demi tangkapan kerana berkhalwat, kerana dadah, kerana berkelakuan tidak sopan pada setiap kali sambutan-sambutan anjuran Dato Seri. Apakah pernah himpunan rakyat membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit keadilan, pernah menjadi penyebab anak-anak muda ditangkap khalwat?
 
Dan pernahkah Ulama-ulama muda yang bernaung di bawah Dato Seri itu menegur Dato Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur himpunan rakyat yang bersuara sebagai Bughah (derhaka) dan menuju Maksiat!?
 
REFORMASI
 
Saya dan juga rakan-rakan adalah remaja muda yang punya sikap, punya pendirian. Kami berazam untuk mengubah keadaan ini Dato Seri. Kami berazam dan bertekad bahawa seluruh diri kami akan diperguna untuk memperbaiki keadaan punah ini.
 
Kaedah merubah itu 2 Dato Seri. Pertama, nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal, UBAH sendiri. Nasihat sudah saya berikan. Pandangan sudah saya sampaikan. Rakyat lain juga begitu, isyarat sudah mereka sampaikan.
 
Jika sampai masanya untuk kami membuat pilihan, dan keadaan tidak lagi pulih, percayalah Dato Seri, kami sudah membuat pilihan sekarang untuk siapa yang layak menerima undi kami nanti.
 
Tidak cukup dengan itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh tenaga dan kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti agar pentadbiran, pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang meletakkan Islam, Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan beroleh tempat tertinggi di negara ini.
 
Dato Seri, saya tidak mengancam. Tidak pula mengugut. Saya mengingatkan. Kerana inilah tanggungjawab saya sebagai Mumin. Bukankah sesama Mumin itu bersaudara?
 
Dato Seri, mungkin surat ini akan sampai kepada pengetahuan Dato Seri, mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke pengetahuan Dato Seri, saya dahulukan dengan permohonan maaf kerana mungkin ada kesilapan saya. Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada silap dan salah pada lenggok bahasanya. Saya juga berterima kasih, iyalah, orang sesibuk Dato Seri meluangkan masa untuk mengambil perhatian pada surat saya ini, itu adalah satu penghormatan buat remaja seperti saya.
 
Namun Dato Seri, kiranya ada pada surat ini ataupun tindakan-tindakan remaja muda seperti kami ini yang mungkin lantang menyatakan pendirian hingga mungkin Dato Seri terguris hati, kami tidak memohon maaf untuk itu. Kerana Dato Seri, INI MEMANG ADALAH PENCAK KAMI!
 
Sekian, terima kasih.
 
p/s - p/s : Salam alaik. Sila sebar-sebarkan untuk tatapan setiap remaja dan rakyat Malaysia yang inginkan perubahan. Demi ISLAM kita berjuang..!!



__________________
Ahli Retro Ada Isteri
Suzy Jiwaku!
Die Hard Fan Liverpool!
Selamanya Jiwaku Retro......................!
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.



Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard